...

Find out our latest updates & news

Munajat di tengah samudera

in
Berita,Umum (General)

Satu kelainan dirasakan apabila mendengar azan berkumandang ketika berada di tengah-tengah lautan.

Ia secara tiba-tiba menyentap emosi serta mengingatkan diri bahawa sebagai hamba kita begitu kerdil berbanding kekuasaan Allah SWT mentadbir alam dengan penuh aturan, harmoni dan indah.

Jelaslah seperti dinyatakan dalam al-Quran bahawa penciptaan langit, bumi, lautan dan gunung-ganang membuktikan keagungan Allah SWT supaya manusia sentiasa berfikir dan bersyukur.

Penulis berkesempatan merasai pengalaman belayar menaiki kapal persiaran mewah Costa Victoria dari 11 hingga 15 Disember lalu dengan menyertai Pelayaran Islamik 12.0 anjuran IntraTama Consultant & Tours (M) Sdn Bhd.

Menggunakan konsep belayar sambil beribadah, jenama Pelayaran Islamik memberi pengalaman berbeza buat 252 peserta termasuk 67 warga Singapura.

Ia turut mencatat sejarah apabila kapal mewah empat bintang berpangkalan di Itali itu membuat pelayaran terus dari Harbourfront, Singapura ke Phuket, Thailand menelusuri laluan laut paling sibuk di dunia, Selat Melaka pada jarak sepanjang 805 kilometer.

Melihat pada jadual yang disertakan, tugasan penulis kali ini berbeza kerana sepanjang lima hari empat malam, kebanyakan masa akan berada di atas kapal.

Sepanjang tempoh pelayaran, setiap hari peserta perlu bangun seawal jam 3.30 pagi bagi melaksanakan qiamulail selain mengikuti aktiviti ibadah lain termasuk solat berjemaah di dek paling atas, tazkirah, ceramah serta slot forum perdana.

Empat tokoh agama diundang sebagai guru pembimbing iaitu Datuk Badli Shah Alauddin, Syed Norhisyam Tuan Padang serta dua jemputan dari luar negara iaitu ahli Majlis Fatwa Al-Azhar As-Syarif Mesir Sheikh Mohamad Abdelaziz Ghonim dan pendakwah dari Singapura Nuzhan Abdul Hamid.

Program julung kali Pelayaran Islamik diadakan pada Ogos tahun lalu menggunakan kapal persiaran Star Cruise Libra bermula dari Pulau Pinang ke Phuket.

Pengalaman paling mengujakan sudah pasti kejayaan melaksanakan qiammulail di atas dek paling atas kapal Costa Victoria dengan sempurna berbeza ketika melakukan pada waktu lain sering kali rasa mengantuk menjadikan solat menjadi kurang sempurna.

Sesekali angin menerpa tubuh pasti terasa kedinginannya dan menambah lagi semangat untuk menghabiskan solat sunat tahajud, taubat sehingga diakhiri solat sunat witir.

Memang benar, pengalaman di tengah lautan menambah keinsafan ditambah perjalanan dianggap musafir pasti segala doa yang dipanjatkan mohon dimakbulkan Allah SWT.

Rata-rata peserta program berkenaan berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun, namun semangat serta komitmen yang mereka tunjukkan untuk mengikuti setiap aktiviti cukup membanggakan.

Jelas terpancar keseronokan mereka mendalami ilmu disampaikan guru pembimbing apabila tekun mencatat nota ketika sesi tazkirah dan forum agama diadakan.

Selain aktiviti ilmiah peserta juga berpeluang menggunakan kesempatan waktu santai menjelajah serta mengambil gambar kenangan setiap sudut di dalam kapal persiaran mewah itu.

Sesi menjamu selera juga menceritakan pengalaman menyeronokkan apabila dapat merasai makanan hasil air tangan chef Muslim dari Malaysia dan Indonesia sambil sekali-sekala melihat pemandangan indah kapal bergerak membelah lautan.

Pada tengah malam, peserta dapat merasai hidangan istimewa popular dari Itali iaitu piza panas sambil menghirup secangkir teh.

Semua program pelayaran sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan dan setakat ini sudah disertai lebih 4,000 peserta.

Secara keseluruhannya, program itu berjaya mengubah pemikiran ramai yang menimbulkan persoalan bagaimana aktiviti keagamaan boleh dilakukan di atas kapal milik bukan Islam yang bercampur perkara syubhat dan tidak patuh syariah?

Bagaimanapun, pada malam sesi perkenalan, peserta diberi penjelasan terperinci bahawa syarikat penganjur berjaya meyakinkan pengurusan pihak kapal itu yang terpaksa akur dengan kuasa beli umat Islam.

Sebelum pelayaran juga, Costa Victoria bersetuju membenarkan dapurnya termasuk ruang penyediaan serta penyimpanan makanan disamak, seterusnya mendapat sijil pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Penganjur turut menyewa ruang yang biasanya digunakan bagi aktiviti hiburan di dalam kapal bagi mengadakan majlis ilmu dan ruang solat.

Sebab itulah, ia menjadi pilihan bukan sahaja peserta Malaysia, malah dari Singapura dan akan diperluaskan ke Indonesia dan Brunei pada masa akan datang.

Berlabuh di Phuket bantu sekolah pondok

Kapal Costa Victoria yang membawa peserta Pelayaran Islamik 12.0 berlabuh di Pulau Phuket jam 8.30 pagi waktu tempatan pada 13 Disember lalu.

Setiba di pulau berkenaan, kapal pesiaran mewah itu tidak dapat merapat ke jeti menyebabkan peserta perlu menaiki bot ke pantai Patong sebelum ke ke satu-satunya sekolah pondok di Phuket, Muslim Wittaya.

Menaiki lima bas, kami bergerak secara konvoi ke sekolah pondok berkenaan yang mengambil masa 15 minit dari jeti.

Rombongan kami dihidangkan makanan tengah hari dengan juadah tomyam.

Ini diikuti majlis penyerahan sumbangan 20,000 baht (RM2,388) kepada sekolah berkenaan selain sumbangan peribadi peserta yang berjumlah lebih RM32,000 seperti diumumkan pihak penganjur.

Majlis dihadiri Presiden Majlis Islam Phuket Dr Komol Doomluck yang mewakili sekolah itu menerima sumbangan berkenaan.

Jumlah kutipan itu membuktikan peserta program prihatin dan bermurah hati membantu pembangunan sekolah pondok agama di tengah-tengah pulau berkenaan.

Sementara itu, Dr Komol berkata sekolah berkenaan tidak mendapat bantuan penuh kerajaan Thailand.

“Penyumbang terbesar kepada pembangunan sekolah yang mempunyai 2,000 pelajar ini daripada kutipan zakat yang diagihkan majlis agama untuk menampung kos pengurusan.

“Bantuan yang diberikan kerajaan hanya sekadar cukup membayar gaji 122 guru. Selain itu, terdapat 180 pelajar dalam kalangan anak yatim manakala 200 pelajar lagi daripada keluarga fakir miskin,” katanya.

Beliau berkata, sekolah itu turut mendapat bantuan daripada pertubuhan dari Kuwait yang pernah mengadakan lawatan ke situ.

“Pertubuhan itu juga menyediakan beberapa bangunan yang menempatkan bilik darjah dan sebuah masjid yang diberi nama Masjid Dubai terletak dalam pekarangan sekolah,” katanya.

Pelayaran terap empat elemen

Program Pelayaran Islamik dianggap unik kerana setiap peserta didedahkan dengan empat elemen iaitu ziarah, ilmu, amal dan kebajikan.

Pengarah Urusan Intratama Suhaimi Abdul Ghafer berkata, menerusi program ini, keindahan Islam secara tidak langsung dapat ditonjolkan kepada penumpang lain yang turut sama menikmati percutian di atas kapal sama.

“Berdasarkan maklum balas peserta terdahulu, rata-rata bersyukur kerana banyak pengalaman dan ilmu baru dikutip sepanjang program berlangsung,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran sebanyak 12 kali pelayaran Islamik membuktikan syarikat kendaliannya berjaya meyakinkan pihak kapal untuk mengadakan program berbentuk keagamaan.

“Jujur saya katakan, bukan mudah meyakinkan pihak kapal antarabangsa menganjurkan program seumpama ini.

“Saya akui ada pihak mengkritik program yang kami anjurkan kerana dikatakan tidak sesuai diadakan di atas kapal mewah yang dikaitkan dengan aktiviti perjudian dan maksiat lain,” katanya.

Katanya, semua itu berjaya diatasi apabila pihaknya bertegas dengan prinsip halalan toyyiban selain menuntut pihak kapal memenuhi beberapa perkara penting sebelum peserta belayar.

“Ini termasuk bersetuju keseluruhan ruang dapur kapal disamak, bekalan makanan diperoleh daripada sumber halal, ruang penyimpanan makanan tidak bercampur dengan barang tidak halal serta pihak kapal wajib menyediakan tukang masak beragama Islam,” katanya.

Suhaimi berkata, ilham menganjurkan Pelayaran Islamik tercetus ketika dia mahu menikmati pemandangan matahari terbit dalam satu pelayaran menaiki kapal Star Cruise sebelum ini.

“Ketika itu, saya berada di dek paling atas sebelum berpaling ke belakang. Tiba-tiba pandangan saya terpukau seolah-olah melihat bayangan orang sedang bersolat.

“Bertitik tolak dari situ, saya mengutarakan idea untuk menganjurkan Pelayaran Islamik kepada pihak kapal, namun awal-awal lagi mereka menolaknya,”katanya.

Beliau berkata, cadangannya itu akhirnya diterima pengurusan kapal berpangkalan di Hong Kong itu dalam satu sesi perjumpaan.

“Bagi mendapatkan impak terutama menarik orang Islam mencuba pengalaman belayar sambil beribadah, ia perlu benar-benar bermatlamatkan dakwah selain tidak berkompromi dalam isu halal,” katanya.

Mengenai masa depan, Suhaimi berkata, pihaknya merancang menganjurkan pelayaran ke Aceh dan Makkah.

“Kami akan memastikan pelayaran itu terhindar daripada aktiviti sia-sia kerana mahu menuju ke tempat paling suci. Selain itu, kami mahu berkongsi bersama masyarakat Islam di seluruh Nusantara.

“Dalam usaha memperluaskannya kepada masyarakat luar Malaysia, kami merancang menjemput asatizah (guru) dari luar negara dengan penyampaian ilmu dilakukan dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Chartered IslamiCruise, Costa Victoria, Cruise Islamik, Cruise Muslim Sewa Khas, IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd, Islamic Cruise, IslamiCruise, Pelayaran Islamik, Suhaimi Abd Ghafer
Berita, Umum (General)

Share This Post :

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Get Special Promo & Early Bird deals

Be the earlier to register and grab special deal from IslamiCruise®

NO 2.08 (2nd Flr), JALAN PRIMA SG1,
Prima Seri Gombak, 68100 Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan,

Malaysia

Register now

Be one of our upcoming IslamiCruise® trip now

Developed by luqmänsmy

Copyright © 2016 – 2024. All rights reserved

Scroll to Top
Seraphinite AcceleratorOptimized by Seraphinite Accelerator
Turns on site high speed to be attractive for people and search engines.