Pelayaran Islamik Angkat Martabat Pengembara

Bercuti sambil mendekatkan diri kepada Allah adalah pengalaman yang sukar dilupakan.

TAWARAN untuk mengikuti percutian di atas sebuah kapal pelayaran memang sukar dilepaskan.

Tambahan pula ia menjadi salah satu ‘wish list’ penulis sendiri untuk turut serta dalam sebuah pelayaran mewah seperti yang selalu digambarkan dalam filem barat.

Namun sejujurnya tatkala diberitahu bahawa percutian yang bakal disertai berkonsepkan kerohanian, fikiran mula dibayangi dengan pelbagai persoalan.

Skeptikal

Pada mulanya penulis sendiri masih tertanya-tanya mengenai pengisian dan keberkesanan program Pelayaran Islamik yang kini memasuki edisi 4.0.

Masakan tidak, cakap-cakap kurang enak yang bertebaran di media sosial mengenai penganjuran program berunsur kerohanian ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa ingin tahu.

Pandangan skeptikal mengenai imej pelayaran di atas kapal mewah yang kebiasaannya digambarkan penuh dengan perbuatan maksiat dan haram seakan sudah sebati dalam fikiran masyarakat kita.

Namun bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tagline yang digunakan penganjur iaitu ‘Syukur Tenang Damai’ benar-benar membawa maksud yang mendalam.

Bagi penulis, pengalaman bercuti menaiki kapal mewah sambil menambah ilmu dan mendekatkan diri kepada tuhan menerusi Pelayaran Islamik nyata berbeza.

Peserta menunaikan solat berjemaah di atas dek.

Tidak keterlaluan jika dikatakan penganjuran atas nama Pelayaran Islamik ini berjaya mengangkat martabat serta konsep percutian pengembara Islam ke tahap yang lebih tinggi dan berada di kelas yang tersendiri.

Apa yang pasti, percutian penulis kali ini tidak ‘kosong’ seperti kebiasaannya.

Sebaliknya penganjur program, IntraTama Travel Consultant & Tours (M) Sdn Bhd berjaya merangka palbagai aktiviti berfaedah sepanjang pelayaran yang bermula dari Pulau Pinang menuju ke Phuket dan Krabi di Thailand.

Santai

Sungguhpun aktiviti bermula seawal pukul 5 pagi dengan program qiyamulail dan ikuti solat subuh secara berjemaah, peserta pelayaran ini pastinya akan merasai pengalaman luar biasa dan unik.

Bayangkan bagaimana perasaannya apabila anda menunaikan solat, berzikir serta berselawat secara berjemaah di ruang terbuka dek paling atas ketika kapal sedang berlayar.

Prof Dr Muhaya menyampaikan tazkirah.

Dengan hanya berbumbungkan langit hitam dan bersulam tiupan angin, pastinya akan menginsafkan setiap peserta mengenai kebesaran Ilahi.

Lebih mendamaikan apabila program itu diteruskan dengan tazkirah subuh dalam suasana yang cukup santai dan bersahaja sambil menyaksikan cahaya kemerah-merahan terbit di langit timur menjelang fajar menyinsing.

Di sinilah keunikan Pelayan Islamik apabila ia secara tidak langsung memberi gambaran betapa indahnya Islam di mata bukan penganutnya yang turut sama berada di atas kapal pelayaran persiaran Superstar Libra itu.

Pastinya selain pengisian program yang penuh manfaat, penglibatan agamawan dan ilmuan terkenal sepanjang pelayaran yang mengambil masa selama empat hari tiga malam itu menjadi lebih indah.

Barisan penceramah yang mengikuti Pelayaran Islamik 4.0.

Patuh Syariah

Menurut Pengarah Urusan IntraTama Travel Consultant & Tours (M) Sdn Bhd, Suhaimi Abd Ghafer, kapal pelayaran persiaran berkenaan sememangnya tidak secara 100 peratus mengamalkan konsel ‘patuh syariah’.

Namun jelasnya, umat Islam tidak perlu risau kerana pihak penganjur mengambil beberapa inisiatif penting termasuk dalam isu penyediaan makanan halal dan proses menyamak.

“Ini adalah kesungguhan dan komitmen kami untuk memberi keyakinan kepada umat Islam yang mengikuti pelayaran ini.

“Sesuai dengan tagline kami iaitu syukur-tenang-damai, kami mahu semua peserta bercuti sambil beribadat dalam keadaan yang tenang serta mendamaikan,” katanya.

Penyediaan makanan halal menjadi antara aspek penting yang diberi perhatian oleh penganjur.

Bagi penulis sendiri, apa yang lebih mengagumkan ialah apabila kapal mewah yang dinakhodakan oleh seorang yang bukan beragama Islam itu akan berhenti seketika dan berpusing mengikut arah kiblat apabila masuknya waktu solat.

Meskipunya perbuatan itu hanya seketika iaitu sehingga pergerakan rukuk pertama dalam solat, namun pengalaman berkenaan cukup bermakna kerana secara tidak langsung mengambarkan keindahan Islam tanpa membebankan umatnya untuk beribadat.

Malah keterbukaan pihak pengurusan kapal Star Cruise untuk memudahkan umat Islam menunaikan solat harus diberi pujian.

Dakwah Tanpa Sempadan

Tidak terbatas di atas kapal, pada hari kedua pengembaraan, peserta program dibawa untuk menziarahi umat Islam Thailand yang menyambut ketibaan kami di Masjid Madinah, Phuket dengan tangan terbuka.

Keadaan Masjid Madinah di Phuket yang masih belum siap sepenuhnya.

Selain dihidangkan dengan makanan tempatan seperti tomyam dan pencuci mulut terkenal iaitu pulut mangga, turut diselitkan program tazkirah ringkas oleh penceramah Pelayaran Islamik 4.0.

Lebih bermakna, apabila sejumlah 70,000bath (RM7,400) disumbangkan untuk pembangunan Masjid Madinah yang belum siap sepenuhnya hasil jualan pakej Pelayaran Islamik edisi ini serta penganjur.

Dalam masa sama, sifat dermawan menerusi sumbangan ikhlas secara tunai rombongan dari Malaysia berjaya menyentuh hati umat Islam di wilayah itu.

Peserta Pelayaran Islamik turut menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai.

Bagitu juga ketika menziarahi umat Islam di Masjid Krabi, turut disumbangkan sejumlah 50,000bath (RM5,300) untuk umat kegunaan umat Islam di sana.

Jelas sekali misi dakwah menerusi pengembaraan ini tidak hanya terbatas kepada peserta apabila nikmatnya turut dikongsi bersama masyarakat Islam di negara jiran itu.

© 2016 – 2022 Intratama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd.
Developed by luqmänsmy

© 2016 – 2022 Intratama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd.
Developed by luqmänsmy