...

Find out our latest updates & news

PESERTA Pelayaran Islamik mengikuti ceramah agama yang disampaikan menerusi program yang disusun.

Pelayaran islamik ajak peserta muhasabah diri

in
Berita,Umum (General)

JIKA melancong dengan menaiki kapal mewah sebelum ini sering dikaitkan dengan kegiatan maksiat, pandangan masyarakat Islam di negara ini kini berubah selepas sebuah syarikat pelancongan, IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd (IntraTama) menganjurkan program Pelayaran Islamik sejak dua tahun lalu.

Berbeza dengan pakej pelayaran biasa yang ditawarkan, program pelancongan anjuran syarikat berkenaan membawa peserta ke pelbagai lokasi menarik dengan pengisian aktiviti keagamaan yang mengajak peserta bermuhasabah seterusnya mendekatkan diri kepada Allah.

Dengan kehadiran asatizah (penceramah) jemputan yang terkenal dan berwibawa, peserta bukan hanya berpeluang menikmati segala kemudahan yang ada di atas kapal mewah itu tetapi turut dihidangkan dengan santapan rohani untuk mengupas pelbagai topik berkaitan sifat syukur yang menjadikan seorang itu tenang, akhirnya merasai kedamaian sesuai dengan slogan Pelayaran Islamik iaitu Syukur, Tenang, Damai.

Disyorkan Untuk Anda

Walaupun dikatakan agak mahal untuk mereka yang kurang kemampuan, Pelayaran Islamik yang berkonsepkan belayar sambil beribadah itu sebenarnya mampu menjadi titik tolak kepada mereka yang ingin melakukan perubahan dalam diri.

Di tengah lautan, peserta dididik menjadi insan sabar serta berkasih sayang melalui hubungan silaturahim terjalin antara mereka yang saling tidak mengenali sebelum ini.

PESERTA pelayaran islamik dibawa belayar dengan Costa Victoria

Penulis baru-baru ini turut berpeluang menaiki kapal Costa Victoria, kapal mewah empat bintang berpangkalan di Itali ketika Pelayaran Islamik 11.0 membuat pelayaran dari Harbourfront, Singapura ke Phuket, Thailand sebelum ke Pulau Langkawi menelusuri laluan laut paling sibuk di dunia, Selat Melaka pada jarak sepanjang 805 kilometer.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah qiamullail, zikir sebelum menunggu solat subuh di atas dek, solat subuh secara berjemaah, tazkirah selepas solat subuh, solat jamak dan qasar secara berjemaah, ceramah dan forum perdana.

Program ini membuktikan bahawa dakwah dan mengubah diri kepada menjadi lebih baik tidak semestinya perlu hanya di masjid atau surau, sebaliknya boleh dilakukan sepanjang masa dan di mana sahaja kita berada.

Bagi mengelak sebarang keraguan dalam kalangan peserta, penganjur memastikan program berkenaan mematuhi syariat dengan menyamak bahagian dapur kapal mewah itu sekali gus mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Di atas kapal, penganjur menyewa ruang yang biasanya digunakan bagi aktiviti hiburan di dalam kapal bagi mengadakan majlis ilmu dan ruang solat. Malah, sepanjang program dijalankan, penjualan minuman keras dan operasi pusat hiburan itu dihentikan bagi menghormati sensitiviti umat Islam.

Foto hiasan.
AKTIVITI yang memberi manfaat dengan penceramah yang bertauliah.

Atas permintaan penganjur, pengurusan kapal juga bekerjasama dengan bersedia mengalihkan sebentar arah laluan supaya menghadap kiblat bagi memudahkan urusan menunai solat.

Kebanyakan peserta Pelayaran Islamik yang ditemui penulis nyata berpuas hati dengan aktiviti yang disusun selain mencadangkan program itu dijadikan antara pilihan masyarakat Islam di negara ini yang ingin melancong sambil melakukan perubahan diri.

Peserta yang juga seorang pesara FELDA, Mohamed Saad Abdul Hamid, 58, dari Pontian Johor, berkata dia tergerak hati untuk mengikuti program itu selepas mendengar hebahan menerusi radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Beliau berpendapat wang yang dibelanjakan untuk mengikuti program berkenaan bersama isterinya, Rusiha Muhamad Ali, 57, sangat berbaloi.

“Saya rasa ini adalah pelaburan kami untuk akhirat. Tambahan pula, ia adalah pengalaman pertama kami menaiki kapal mewah. Selain dapat melancong, kami juga dapat memperoleh ilmu kerohanian. Ia adalah bonus,” katanya.

PESERTA yang menyertai Pelayaran Islamik bergambar kenangan di atas kapal Costa Victoria.
PELAYARAN Islamik yang berkonsepkan bercuti sambil memantapkan rohani.

Rusiha pula berkata, pengalaman pertama menaiki kapal itu memberinya peluang untuk berada di tengah laut luas sambil melihat kebesaran Allah.

“Program pelayaran ini juga bagus untuk pasangan yang baru berkahwin untuk dijadikan sebagai hadiah berbulan madu atau kepada mereka yang ingin meraikan ulang tahun perkahwinan masing-masing,” katanya.

Bekas Timbalan Ketua Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Ahmad Adnan, 60, pula berkata program itu boleh digunakan oleh orang ramai sebagai usaha untuk mencari ilmu agama selain dapat digunakan untuk merapatkan hubungan suami isteri.

“Dengan bantuan asatizah yang ada, kita boleh belajar pelbagai perkara mengenai agama. Program ini juga mampu memartabatkan Islam selain mengurangkan Islamofobia dalam kalangan bukan Islam yang turut menyertai pelayaran dengan kapal mewah.

“Saya mengesyorkan kepada mereka yang berkemampuan untuk menyertai program ini. Jika kita boleh membayar ribuan ringgit untuk melancong atau menyaksikan konsert artis antarabangsa terkenal, mengapa tidak untuk program seperti ini,” katanya.

Warga emas yang juga pengusaha kebun sawit, Sohor Tolabi, 76, dari Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor pula mengakui soal harga bukan menjadi pertimbangannya.

“Yang penting adalah pengisian program. Matlamat saya menyertai pelayaran ini bukan untuk beli-belah tapi untuk beribadah sambil melancong,” katanya.

Peniaga, Hasmanisa Abdul Ghani, 40, pula berkata dia menyertai program pelayaran berkenaan kerana tiada pakej pelancongan lain yang membolehkan peserta untuk melancong melihat kebesaran Allah sambil beramal.

Beliau berkata, dengan menyertai program itu, dia dapat bersedekah dan memberi sumbangan kepada sekolah anak yatim yang memerlukan bantuan di dalam negara dan Thailand.

“Walaupun kosnya tinggi, asatizah yang dibawa adalah antara yang terbaik. Saya mendoakan penganjur program ini terus berjaya sehingga mampu membeli kapal sendiri untuk membolehkan mereka melakukan pelayaran ke pelbagai destinasi menarik,” katanya.

PENGARAH Urusan IntraTama, Suhaimi Abd Ghafer.

Sementara itu, Pengarah Urusan IntraTama, Suhaimi Abd Ghafer, berkata program Pelayaran Islamik bermula apabila beliau yang mengendalikan syarikat pelancongan berkonsepkan pengurusan acara dipelawa mengikuti program kapal mewah Star Cruises dari Pulau Pinang ke Phuket dan Krabi, bersama 28 ejen pelancongan lain pada tahun 2013.

Beliau berkata, sepanjang pelayaran itu, dia didedahkan bahawa satu daripada rangkaian kapal Star Cruises iaitu Superstar Libra adalah satu-satunya kapal mewah di dunia yang restorannya mempunyai sijil halal dan mereka mempelawa umat Islam untuk menikmati kemudahan yang disediakan itu.

Katanya, pihak kapal turut mengadakan satu sesi tertutup dengannya dan meminta mengemukakan idea untuk mengadakan satu acara yang boleh memberi impak untuk meningkatkan pasaran mereka.

“Mereka turut mencadangkan kepada saya untuk membawa artis dan peminat bagi menaiki kapal berkenaan tetapi saya tidak berminat kerana merasakan impaknya tidak begitu kuat.

“Bagaimanapun, ketika melihat matahari naik selepas subuh di atas dek, saya diberikan ilham oleh Allah dengan melihat seolah orang sedang bersolat di atas dek paling atas. Pemandangan yang begitu cantik itu menyebabkan saya mendapat idea untuk menganjurkan Pelayaran Islamik.

“Apabila saya mengemukakan idea itu, mereka pada mulanya menolak. Bagaimanapun, selepas beberapa kali diyakinkan, Star Cruises Hong Kong akhirnya bersetuju dan sehingga kini, kami sudah menganjurkan 12 pelayaran dalam tempoh dua tahun lalu,” katanya.

Menceritakan antara kejayaan dakwah sepanjang menganjurkan Pelayaran Islamik, Suhaimi berkata, pihaknya berjaya menganjurkan solat atas kapal mewah milik bukan Islam dan menghentikan penjualan arak untuk beberapa jam sepanjang tempat hiburan berkenaan digunakan untuk acara programnya.

Selain itu, beliau berjaya memastikan kapal menghala ke arah kiblat ketika solat, meletak papan tanda di luar kasino bahawa aktiviti berjudi adalah haram untuk orang Islam, menyamak dapur, memastikan stor dan sumber makanan adalah halal dan bersih serta menggunakan khidmat chef muslim untuk memasak bagi peserta.

SEBAHAGIAN peserta Pelayaran Islamik kendalian IntraTama Travel dari Singapura ke Phuket, baru-baru ini.

Suhaimi berkata, pihaknya akan menganjurkan program terbaharu, Pelayaran Islamik 13.0 iaitu pelayaran ke Vietnam pada 27 Februari sehingga 2 Mac ini dengan asatizah yang akan turut serta ialah Ustaz Haslin Baharin dan Imam Muda Jabbar.

Beliau berkata, pakej pelayaran yang ditawarkan ke Vietnam itu adalah sangat berpatutan kerana ia sudah merangkumi harga tambang kapal terbang, cukai yang perlu dibayar peserta dan dengan pelbagai aktiviti menarik dirancang bersama asatizah.

Katanya, pihaknya kini memberi diskaun sebanyak RM100 kepada mereka yang berminat untuk pelayaran ke Vietnam berbanding harga asalnya iaitu RM3,437 tetapi kepada pembaca setia akhbar Berita Harian (BH) akan menikmati diskaun tambahan RM100 lagi dengan hanya menulis Berita Harian pada bahagian ruangan kod promosi di borang pendaftaran.

“Oleh itu, pembaca setia BH akan menikmati diskaun tambahan secara automatik dengan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar untuk mengikuti pelayaran ke Vietnam kali ini adalah sebanyak RM3,237,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai Pelayaran Islamik 13.0 boleh layari www.pelayaranislamik.com atau hubungi 03-61850010 atau whatsApp 012-3370103 atau datang sendiri ke pejabat Pelayaran Islamik di No 2.08, Jalan Prima SG 1, Prima Sri Gombak, 68100, Batu Caves, Selangor.

Costa Victoria, Cruise Islamik, Cruise Muslim Sewa Khas, Golden Cruises, Halong Bay, Hanoi, Islamic Cruise, IslamiCruise, Krabi, Muslim Wittaya School, Pelayaran Islamik, Phuket, Suhaimi Abd Ghafer, Thailand, Vietnam, Wittaya School
Berita, Umum (General)

Share This Post :

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Get Special Promo & Early Bird deals

Be the earlier to register and grab special deal from IslamiCruise®

NO 2.08 (2nd Flr), JALAN PRIMA SG1,
Prima Seri Gombak, 68100 Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan,

Malaysia

Register now

Be one of our upcoming IslamiCruise® trip now

Developed by luqmänsmy

Copyright © 2016 – 2024. All rights reserved

Scroll to Top
Seraphinite AcceleratorOptimized by Seraphinite Accelerator
Turns on site high speed to be attractive for people and search engines.